Wednesday 3 August 2011

KADAR MUT’AH: BAGAIMANAKAH MAHKAMAH MEMUTUSKANNYA DI MALAYSIA?

Peruntukan undang-undang berkenaan kadar mut’ah

Peruntukan seksyen 58 Enakmen undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 merupakan satu-satunya peruntukan berkaitan mut’ah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut. Peruntukan berkenaan hanya menyatakan hak isteri yang diceraikan terhadap mut’ah atau pemberian saguhati daripada suaminya. Bagaimanapun kadar mut’ah atau pembayaran tersebut tidak dinyatakan secara khusus tetapi merujuk kepada bentuk wang dalam jumlah yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Secara umumnya dasar mut’ah adalah keredhaan kedua-dua pihak tetapi jika tidak mencapai persetujuan maka penentuan perlu dibuat oleh kadhi atau hakim.

Tidak ada penentuan nas atau dalil tentang kadar atau jumlah mut’ah. Oleh itu hakim perlu berijtihad mengenai dengan kadarnya.

Jika sekiranya suami isteri bertikai mengenai kadar jumlah bayaran mut’ah maka Qadhi atau Mahkamah boleh menentukan kadar dengan ijtihadnya berdasarkan apa yang sesuai dengan kedudukan atau taraf suami isteri.[1] 

Dalam Kitab “Mughni al-Muhtaj’, juzuk 3 muka surat 249[2]

maka apabila bertelingkah kedua pihak tentang kadar, Qadhi hendaklah menentukan mengikut budi bicaranya dan mengambilkira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-duanya baik dari sudut kekayaan suami dan kesusahan dan keturunan perempuan dan sifatnya

Ini selari dengan Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 236:
(Yang bermaksud)

Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”.

Ayat diatas menyatakan kewajipan oleh syarak untuk membayar mut’ah kepada isteri yang telah diceraikan. Nas tersebut juga secara umumnya menetapkan bahawa kadar yang ingin ditetapkan tersebut perlulah mengambilkira faktor kemampuan suami atau defendan samada tergolong dalam golongan senang atau susah.    

Di dalam kes Norbee lwn Ahmad Sanusi[3], Hakim YA Haji Harussani bin Haji Zakaria telah menyatakan bahawa penentuan kadar digariskan oleh syarak dengan nilai kedudukan kaya miskinnya suami dan sifat serta keadaan isteri. Sifat ialah perwatakan dan keadaan pula ialah kedudukan keluarga atau status keluarga dalam masyarakat. Kaya dan miskin ialah nilai semasa dari segi perolehan dan pemilikan.
              
Setakat ini tidak ada formula atau kaedah yang diguna pakai mengenainya. Oleh kerana itu, maka terdapat pelbagai kaedah atau formula yang cuba digunakan oleh plaintif dalam menjustifikasi tuntutan terhadap jumlah mut’ah di Mahkamah Syariah.

Terdapat kes dimana plaintif menggunakan formula kiraan RM untuk sehari/ sebulan dan didarabkan dengan tempoh perkahwinan[4]. Ini juga menjadi amalan yang biasa diguna pakai dalam menilai jumlah tuntutan yang ingin difailkan di Mahkamah Syariah terhadap tuntutan mut’ah daripada pihak suami.

Malahan terdapat kes-kes yang diputuskan seperti dalam kes Jalilah lwn Abu Bakar[5], dimana hakim telah menggunakan formula berkenaan dalam memutuskan jumlah mut’ah. Hakim memutuskan bahawa jumlah mut’ah yang perlu dibayar adalah RM 50 sebulan untuk tempoh 8 tahun (mengambilkira keadaan yang berlaku walaupun tempoh perkahwinan adalah kira-kira 15 tahun) dengan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar sebanyak RM 4,800.00. Kaedah sedemikian juga telah diguna pakai dengan lebih terperinci dalam kes Nooraini binti Rashid lwn Hamzah bin Zainudin[6] ketika mana Hakim YA Haji Hassan Basri memutuskan nilaian tuntutan mut’ah yang layak kepada plaintif selama 15 tahun perkahwinannya dengan defendan sebanyak RM 810,000.00. Nilaian tersebut dibahagikan kepada 3 iaitu nafkah diri bulanan, pakaian dan hiasan diri bulanan serta upah menjaga anak bulanan. 
1.      Nafkah diri RM 2,000.00 sebulan x 15 tahun                  RM 360,000.00
2.      Pakaian dan hiasan diri RM 1,500.00 sebulan x
15 tahun                                                                            RM 270,000.00
3.      Upah jaga anak RM 1,000.00 sebulan x 15 tahun            RM 180,000.00
-------------------
RM 810,000.00
Manakala dalam kes Ida Hidayati binti Taufiq lwn Ahmad Shukri bin Kassim[7], plaintif menuntut mut’ah berdasarkan 30% daripada pendapatan gaji tahunan defendan didarabkan dengan tempoh perkahwinan. Namun YAA Hakim Dato’ Hj Zohdi bin Hj Toha, Ketua Hakim Syarie, tidak menerima formula atau kaedah penilaian tersebut memandangkan plaintif gagal membuktikan asas tuntutan tersebut sedangkan nas al-Quran tidak menyatajan % banyaknya yang ada hanya ukuran kemampuan dan taraf kedudukan.  

Faktor-faktor penilaian kadar mut’ah

1.         Kemampuan Suami

Kadar kemampuan suami adalah pada dasarnya dinilai dari segi pendapatan yang ada. Pendapatan tersebut adalah berdasarkan pendapatannya ketika masa bercerai[8] dan bukanlah ketika tuntutan dibuat terhadapnya atau bukanlah berdasarkan baki kepada potongan-potongan[9].

Adapun jumlah pendapatan yang diambil kira dalam penilaian tersebut adalah pendapatan kasar suami ketika perceraian. Melalui penilaian ini secara umumnya kemampuan atau kedudukan kewangan suami boleh diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu miskin, sederhana dan kaya.  Secara ringkasnya kaya dan miskin ialah nilai semasa dari segi perolehan dan pemilikan.

Terdapat kaedah yang dijadikan panduan oleh hakim dalam memutuskan jumlah mut’ah yang perlu dibayar oleh suami atau defendan dalam kes mal Siti Asiah bt Abd Aziz lwn Abdul Ghafar[10] yang mana boleh digunakan dalam menaksir jumlah mut’ah yang harus dibayar ke atas isteri yang diceraikan:-


Jenis
Pendapatan Suami
Mut’ah yang diberi
Miskin
Bawah RM500.00
RM 30.00-RM500.00
Sederhana
RM 500.00 – RM1,500.00
RM500.00- RM 1,500.00
Kaya
Lebih RM 1,500.00
RM 2,000.00 dan ke atas


Berdasarkan jadual di atas bolehlah dibuat satu formula/ kaedah bahawa kadar nafkah bagi suami yang kedudukan kewangan atau pendapatannya dalam lingkungan miskin adalah sebanyak 15% -100% daripada gaji bulanan suami (15%-100% gaji bulanan)

Contoh-contoh yang boleh dirujuk ialah dalam kes Sharifah lwn Zainal Alam[11], dimana suami/ defendan yang bekerja sebagai pelayan pejabat dengan pendapatan sebanyak       RM 295 sebulan telah diperintahkan untuk membayar mut’ah sebanyak RM 500. Manakala dalam kes Syed Bulat lwn Intan[12], isteri yang diceraikan telah diputuskan untuk menerima mut’ah sebanyak RM300 setelah hakim mempertimbangkan pendapatan suami sebanyak RM 335 sebulan dan pendapatan beliau sebanyak RM 500 sebulan. 

Selanjutnya, terhadap suami atau defendan yang berada dalam lingkungan sederhana pula adalah menggunakan formula sebulan gaji (100% x gaji bulanan) sepertimana dalam kes Faridah binti Sulaiman lwn Mohd Noh bin Othman[13], defendan yang berpendapatan RM 10,000 sebulan semasa perceraian adalah berada dalam golongan sederhana. Oleh yang demikian berpendapat plaintif wajar mendapat hak mut’ah sebanyak RM 10,000.00.

Manakala dalam kes Norizam lwn Halim Azman[14], hakim berpendapat seorang pegawai tentera yang berpendapatan bulan lebih kurang RM 1,500- RM 1,600 sebulan termasuk golongan yang berpendapatan sederhana.

Akhirnya, mereka yang pendapatannya berada dalam lingkungan senang atau kaya maka kaedah sebulan setengan gaji bulanan atau lebih adalah suatu jumlah yang munasabah (150% atau keatas x gaji bulanan).

Mahkamah Rayuan Syariah telah berpendapat bahawa jumlah tawaran mut’ah sebanyak RM 36,000 yang ditawarkan oleh suami kepada isteri dalam kes Tengku Puteri Zainah lwn Dato’ seri Mohamed Najib[15] adalah suatu kadar yang munasabah menurut kemampuannya sebagai pegawai kerajaan yang mendapat pendapatan tetap setiap bulan sebanyak RM 16,000.00.

Dalam kes Norma @ Normek binti Ghazali lwn Mohd Zain bin Abdullah[16], Mahkamah Rayuan Syariah di Kota Bharu telah membatalkan keputusan YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang memberi kadar mut’ah sebayak RM 5,000 kepada plaintif. Setelah Mahkamah Rayuan mempertimbangkan kedudukan Responden sebagai golongan yang senang dan dihormati serta mempunyai pendapatan tetap sebanyak    RM 2,4000 sebulan daripada pencen bulanan belas Ahli Parlimen Malaysia bagi kawasan Bachok serta taraf kedudukan yang baik telah memutuskan bahawa jumlah mutaah yang munasabah adalah sebanyak RM 10,000.

2.         Taraf kedudukan dan sifat isteri

Selain penentuan berdasarkan kemampuan suami sepertimana dibincangkan di atas, hakim juga akan mengambil kira kedudukan dan sifat isteri dalam menilai jumlah mut’ah yang diputuskan. Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein[17], YAA Hakim telah membenarkan tuntutan mut’ah RM 25,200.00 dengan mengambilkira kedudukan isteri dari keluarga Diraja Pahang dan sumbangan moralnya sehingga suami telah Berjaya dalam perniagaan dan diterima oleh masyarakat atasan dan diberi gelaran Dato’.

Dalam kes yang telah diputuskan, YA Hakim berpendapat bahawa walaupun plaintif menuntut asal mut’ah sebanyak RM 3 Juta merupakan satu tuntutan yang besar tetapi jika dilihat kemampuan defendan maka adalah terbukti dari nilai sahamnya dalam syarikat yang dimiliki oleh defendan semasa dalam perkahwinan serta dilihat keperluan-keperluan plaintif untuk hidup bersama anak-anaknya dalam dunia serba maju dan moden ini dan kebiasaan hayatnya semasa dalam perkahwinan bersama defendan maka YA Hakim telah mengambil kira semua itu dalam menetapkan kadar mut’ah plaintif[18].

3.         Tempoh berkahwin

Tidak ada nas atau dalil yang menunjukkan bayaran mut’ah boleh dibayar berpandukan tempoh lama perkahwinan berkuatkuasa namum dalam kes Ida Hidayati binti Taufik lwn Ahmad Shukri bin Kassim[19], YAA Hakim dalam kes tersebut telah mengambilkira tempoh perkahwinan dalam memutuskan bahawa pihak plaintif wajar mendapat hak mut’ah sebanyak RM 48,000.00 setelah mengambil kira tempoh perkahwinan dan kesengsaraan yang menjadi titik hitam yang mungkin tidak dapat dilupakan seumur hayatnya disamping melihat pendapatan/ kemampuan defendan (sebagai juruterbang MAS yang berpendapatan RM 10,000 sebulan). 

Bagaimanapun terdapat juga hakim yang berpendapat bahawa tempoh sesuatu perkahwinan tidak boleh dijadikan salah satu faktor untuk diambil kira dalam menentukan jumlah mut’ah yang layak diperolehi oleh seorang isteri[20].


4.         Sumbangan khidmat isteri terhadap perkahwinan

Khidmat plaintif yang menjadi faktor yang telah diambilkira oleh hakim dalam menilai kadar tuntutan mut’ah plaintif merangkumi khidmat memasak, membasuh dan memelihara anak-anak. Dalam kes Rokiah lwn Mohamed Idris[21], mahkamah telah membuat penilaian khidmat pemohon atau plaintif kepada defendan dengan hitung panjang pada satu hari satu ringgit, sebulan RM 30 dan dalam satu tahun RM 3,600. Oleh itu mengambilkira khidmat plaintif selama 35 tahun tiga bulan lima hari maka hakim memutuskan jumlah mut’ah sebanyak RM 12,695. Bagaimanapun, rayuan yang dibuat kepada Jawatankuasa Ulangbicara telah dibenarkan setelah mengambil kira aliran keputusan di Malaysia,dan  mengurangkan kadar mut’ah tersebut kepada RM 6,500.

YA Hakim juga telah mengambilkira khidmat isteri dalam memelihara anak dengan memasukkan upah menjaga anak sebanyak RM 1,000 sebulan dalam menilai jumlah mut’ah yang diberikan kepada isteri[22].

Kesimpulan

Hak mut’ah adalah hak yang diwajibkan ke atas suami terhadap isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut. Walaupun fuqaha berbeza pendapat terhadap hak untuk mut’ah bagi perceraian yang disebabkan oleh pihak isteri, hakim berpendapat bahawa ia bukanlah menjadi isu dalam kebanyakan kes-kes yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Isu utama adalah terhadap penentuan kadar yang munasabah untuk dibayar oleh defendan atau suami dalam keadaan tiada persetujuan dicapai terhadap jumlah tersebut. Formula atau kaedah khusus untuk diguna pakai tiada kerana setiap hakim membuat penentuan utama berdasarkan kemampuan defendan. Kemudian dengan mengambilkira kedudukan dan sifat isteri serta faktor-faktor menyumbang yang lain sepertimana dinyatakan di atas iaitu tempoh perkahwinan, sumbangan terhadap perkahwinan dan kedudukan pihak dalam menyumbang kepada perceraian. Namun berdasarkan kajian yang dibuat bolehlah disimpulkan bahawa secara minimum adalah suatu kadar yang tidak membebankan yang bersamaan dengan sebulan gaji defendan. Bagaimanapun sekiranya pendapatan suami adalah tinggi maka bersamaan sebulan setengah atau lebih daripada gaji defendan (bagi pendapatan suami yang bergaji tetap).






[1] Dr. Wahbah al-Zuhaili, Fiqh & Perundangan Islam, Jilid VII, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, p 408.
[2] Yang Arif Hakim  telah merujuk kepadanya dalam keputusan terhadap kes Faridah binti Sulaiman lwn Mohd Noh bin Othman (2004) 19JH (1) 134  
[3] (1978) 1 JH (2) 63
[4]Nooraini binti Rashid lwn Hamzah bin Zainudin (2003) 18 JH (2) 279
[5] (1987) 7 JH 72
[6] No. 15
[7] (2003) 18 JH (2) 259
[8] Faridah binti Sulaiman lwn. Mohd Noh bin Othman (2004) 19JH (1) pada ms137
[9] Mohd Farid bin Abdul Rahman lwn Rabihah binti Kamarudin (2005) 21JH 71 pada ms 79
[10] JH (1995) Jld X 33
[11] (1978) 1 JH (1) 93
[12] (1973) 2 JH 257
[13] (2004) 19 JH (1) 124
[14] (1993) 10 JH 65
[15] [1999] 5 MLJ 50
[16] (2004) 19 JH (2) 278
[17] (1983) 3 JH (1) 125
[18] No. 6 pada ms 295
[19] No. 7 pada ms 266
[20] No. 13 pada ms136
[21] (1986) 6 JH 272
[22] No. 6

3 comments:

  1. Assalamualaikum, terima kasih atas makluman dan ilmu yang berguna ini, tetapi boleh tuan/Puan beritahu saya apakah rujukan yang terdapat di rujukan [20] kerana saya ingin mengetahui rujukan tersebut. terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam. Rujukan [20] adalah merujuk kembali kpd rujukan [13] atau kes Faridah binti Sulaiman lwn Mohd Noh bin Othman yg telah dirujuk terdahulu dalam rujukan [13] cuma pd muka surat yg berbeza.

    ReplyDelete
  3. Salam tuan, apakah nilai sewajarnya untuk nafkah mutaah jika suami berpendapatan tetap sebanyak RM6000.00 sebulan sebagai penjawat awam?

    ReplyDelete